Blogger Widgets

Thursday, 25 October 2012

Penghargaan dari pihak pengurusan ibadah korban 2012

Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Allah SWT atas keizinanNya memberi nafas untuk kita meraikan sekali lagi Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Haji yang jatuh pada 26 Oktober 2012 di hari Jumaat yang mulia. Bersamaan dengan kalendar umat Islam yakni 10 Zulhijjah 1433 yakni bulan terakhir pada kalender Hijrah Islam.

Umat Islam di seluruh dunia sama-sama meraikannya pada hari ke-10, 11, 12 dan 13 bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah yang kemudian disusuli dengan solat sunat Aidiladha dan khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah. Ibadah korban pula boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah yang kesemua hari-hari ini dipanggil Hari Tasyrik. 

Ia merupakan perayaan yang sangat istimewa bagi umat Islam untuk memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dalam menunaikan perintah Allah serta kesabaran anaknya Nabi Ismail a.s. dalam memenuhi perintah Allah SWT. 

10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah. Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. 

Pada kebiasaannya solat sunat Aidiladha dicepatkan sedikit berbanding solat sunat Aidilfitri. Hikmahnya dicepatkan sedikit waktu solat sunat Aidiladha adalah bagi memberi lebih banyak masa untuk penyembelihan korban. Hikmahnya dilewatkan sedikit solat sunat Aidilfitri pula adalah bagi membenarkan peluang bagi mereka yang belum membayar zakat menunaikan kewajipan mereka dan disunatkan makan dahulu sebelum pergi ke masjid.

Manakala bagi Aidiladha, hikmat disunatkan makan selepasnya supaya makanan yang mula-mula dimakan pada hari itu ialah daging korban yang berkat. Selepas bersembahyang, upacara korban akan dimulakan. Lembu, kambing, dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan dagingnya kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.


Oleh itu, kami bagi pihak Al Malik Maju selaku syarikat yang menguruskan ibadah korban pada tahun ini mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta ibadah korban di Kemboja. Insyaallah kita sama-sama berdoa agar ibadah dan segala usaha murni ini diterima oelh Allah SWT dan mendapat ganjaran yang setimpal di akhirat nanti. 

Akhir kata Salam Aidiladha dan insyaallah kita dapat bersama lagi untuk program-program amal dan ibadah ini untuk tahun-tahun yang akan datang. Jazakallah